Artikel ini dipetik dari sebuah "sudut". Tak perlu laa nak bagi tau sudut mana tapi yang peinting isi artikel tersebut yang banyak memberikan nasihat kepada kita semua, agar tidaklah kita turut dihinggapi ‘sindrom-sindrom’ yang sama! Jadi, walaupun kita buat masa ini ‘terselamat’, jadikanlah apa yang ditulis dalam artikel ini sebagai sempadan.Kandungan asal artikel tersebut masih relevan, walaupun ditulis beberapa tahun yang lalu. Ianya diolah semula untuk memberi rujukan kepada contoh dan analogi terkini. Mukadimah: Saya percaya banyak sudah kita dengar tentang kisah mengenai personaliti-personaliti yang ‘masyhur’ di pejabat-pejabat rakan-rakan dan saudara-mara. ‘Kemasyhuran’ personaliti-personaliti tersebut selalunya berpunca daripada ‘sindrom-sindrom’ atau ‘penyakit’ yang mereka hidapi. Kesian ya! Dah la orang tu ‘sakit’, ada pulak yang nak mengumpat!
Haa! Tolong sikit! Ini bukan mengumpat ya! Ini sekadar mengingatkan sesama kita: jangan sampai kita dijangkiti benda atau ‘penyakit’ yang sama! Sindrom Raja Tanda-tanda mereka yang menghidapi sindrom ini: tak mahu kalah; tak mahu dengar cakap orang lain; dia rasa dia punya cara dan dia punya kata saja yang boleh pakai; dia rasa dia saja yang betul; tak mahu tegur orang yang lebih rendah pangkatnya; orang lain mesti tunjuk hormat pada dia dalam semua segi dan pada setiap masa; kalau ada yang berikan pendapat berbeza dari pendapat dia, nanti tengok ajelah macam mana muka ‘baginda’ berubah – sebab ‘baginda’ ingat orang tu nak cabar ‘baginda’. Dan sekali ‘baginda’ berasa ‘murka’, ‘kemurkaan’nya itu payah nak reda sebab ‘baginda’ cukup tak sangka ada orang yang tak takut dengan ‘daulat’nya!
Penerangan: Biasanya dihidapi oleh orang-orang yang berjawatan (bukan la tinggi sangat pun...). Mereka berasa seolah-olah seperti raja yang sedang bertakhta, tak sedar langsung yang dia bukannya Raja sebenar – dia boleh diturunkan pada bila-bila masa! Orang ini sebenarnya mabuk kuasa, mungkin sebab sebelum ini dia tak pernah pegang kuasa macam tu. Kemungkinan besar orang ini tak sedar langsung yang perangai dia tu tak disenangi orang sekelilingnya. Sepatutnya ada orang yang tegur dia supaya dia boleh berubah. Sebenarnya, bukan sebab orang tak nak tegur, tapi sebab semua orang tahu kalau ditegur pun bukan dia nak ikut, sebab dia rasa dia betul...! Menghabiskan air liur je!
Kemungkinan besar juga orang yang menderita sindrom ini senang makan bodek kaki-kaki bodek dan ampu (mana yang masih sanggup nak bodek dan ampu dialah!).
Sindrom Sungai Nil Tanda-tanda mereka yang menghidapi sindrom ini: walaupun banyak kali ’tanda-tanda’ ditunjukkan kepadanya melalui pelbagai cara (cara lembut, cara keras, cara kabur dan cara jelas) tapi dia masih tak berubah, macam itu jugak.
Penerangan: Asal sindrom ini dari perkataan Inggeris “Denial”, bunyinya macam “The Nile” – Sungai Nil! Sama ada dia memang tak faham, ataupun dia sebenarnya faham tapi buat-buat tak faham, entahlah! Dunia dah banyak kali berputar, air banjir dah banyak kali pasang dan surut, gempa dan taufan dah banyak berlalu tapi dia masih dengan pandangan yang sama. Dia rasa semua perubahan itu sementara aje, nanti tak lama lagi balik macam ’normal’lah. Dia tak mahu terima kenyataan dunia ni dah berubah, masih jugak nak berbelanja macam gaji dia tu sama naik dengan harga minyak! Akibatnya hutang keliling pinggang, kena buat kerja part-time, atau buat macam-macam claim yang tak patut dengan syarikat. Syarikat jugak la yang jadi mangsa!
Ada persamaan dengan Sindrom Raja. Sebabnya, berbuih la mulut kita terkumat-kamit beri nasihat, tapi dia masih tak mahu terima kenyataan dan cukup payah nak berubah!
Sindrom Ensiklopedia Tanda-tanda mereka yang menghidapi sindrom ini: cukup liat nak pergi ke kursus-kursus untuk tingkatkan pengetahuan – kursus paling akhir dia pergi ialah kursus kahwin, itu pun dia pergi sebab kalau dia tak pergi kursus tu dia tak akan dapat kahwin (dia ‘tuang’ beberapa sesi pulak tu!); tak pernah baca buku-buku terbaru sejak awal tahun 1980an lagi; memberi gelaran dirinya sendiri sebagai ‘ensiklopedia berjalan’.
Penerangan: Orang ini merasakan yang dia dah cukup pandai, malah teramat pandai, dan begitu berpengalaman. Dia rasa dia tak perlu lagi baca buku terbaru atau hadiri apa-apa kursus untuk tambah pengetahuan. Dia anggap pengalaman yang dia ada tu lebih berharga, jadi orang lain patut bayar dia untuk beri kursus! Orang macam ni berbahaya untuk disimpan lama-lama dalam mana-mana syarikat dan hanya akan merosakkan masa depan syarikat dengan idea-idea kolot dan ketinggalan zaman.
Sindrom Berat B*nt*t (Kalau malu nak sebut, boleh juga dipanggil Sindrom ‘Remote Control’) Tanda-tanda mereka yang menghidapi sindrom ini: kerusi dia dah nak patah (ataupun dah pernah beberapa kali patah pun!) sebab b*nt*t dah berat dan tak pernah bangun dari kerusi; kalau boleh, kerusi dia tu di ‘MacGyver’kan supaya jadi tandas – tak perlulah dia bangun dari kerusi kalau nak ke tandas macam orang lain! Kerusinya dilengkapi dengan banyak alat kawalan jauh sebab dia memang suka kawal macam-macam dari jauh!
Penerangan: Orang ni memang cukup susah nak bergaul dengan rakyat atau turun padang untuk tengok projek yang dia sendiri luluskan pelaksanaannya. Dia lebih suka wakilkan orang lain untuk turun dan dia akan terima laporan aje. Daripada laporan yang diterima, dia akan buat keputusan: ubah itu, ubah ini, marah orang itu, marah orang ini. Entah betul atau tidak laporan tu, dia sendiri pun tak boleh confirm! Kalau hidup-hidup dia kena tipu pun dia tak akan tahu!
Selalunya dihidapi oleh pegawai atasan, tapi boleh juga dihidapi oleh mereka yang perasan sangat dah naik tinggi, terutamanya mereka yang selalu ‘menebas’ di padang golf (bila ‘menebas’ tak berat b*nt*t pulak!. Aik? Tak mau ‘remote control’ kasi orang lain ‘tebas’ padang golf tu ke?)
Sindrom Andropause (lelaki) / Sindrom Menopause (perempuan): Tanda-tanda mereka yang menghidapi sindrom ini: berfikir dia masih muda, walaupun rambut dah bertukar warna atau dah tak ada pun; cakap macam dia akan terus masuk pejabat 25 tahun lagi; tak mahu beri laluan ataupun peluang sikit kepada yang lebih muda sebab takut nanti dirinya terpinggir; rasa cemburu sangat kalau ada orang lain pegang jawatan lebih tinggi yang sebenarnya dia sendiri mahu - dia takut tak sempat nak capai sebab masa dia dah nak ‘tamat’!
Penerangan: Selalu dihidapi orang yang dah lama bekerja dan tak mahu ‘let go’. Mungkin dah banyak isyarat diberikan oleh pelbagai orang, dia tahu dan sedar tapi cukup susah nak menerima kenyataan (macam Sindrom Sungai Nil). Berhati-hati dengan orang macam ni sebab dia tak akan sediakan orang bawahnya untuk ‘take over’, sebab dia takut nanti orang bawah dengan senang ambil alih tugas dia. Jadi, sampai bila pun orang bawah dia tak akan belajar lebih daripada cara nak buat kerja biasa!
Ada kemungkinan cepat merajuk. Kalau budak-budak merajuk kita boleh pujuk. Isteri/ suami merajuk seronok jugak kita pujuk. Kalau orang yang giginya dah berkarat/rongak ada sindrom ni siapa yang sanggup nak pujuk? Haa... alamatnya, lamalah dia merajuk!
Sindrom Jaga Tepi Kain Orang Tanda-tanda mereka yang menghidapi sindrom ini: kerja tak siap, tapi mulut tak henti-henti bercakap; suara cukup kuat dan nyaring; bertandang dari meja ke meja; akan cakap pasal hal apa saja KECUALI pasal hal kerja.
Penerangan: Orang yang menghidapi sindrom ini merupakan sumber segala gosip dan khabar angin di dalam syarikat. Kalau bangunan tu ada beberapa syarikat, silap haribulan gosip pejabat lain pun dia tahu jugak. NST, The Star dan Utusan boleh tutup kalau ada 100 orang macam ni di Malaysia, sebab berita lagi cepat tersebar melalui mereka. Kalau tenaga elektrik boleh dihasilkan oleh tenaga kinetik yang dituai dari benda bergerak, maka mulut orang yang menghidapi sindrom ini bolehlah dipajakkan kepada TNB untuk menghasilkan elektrik – kalau ada 1,000 orang macam ni memang tak ada lagi la kejadian ‘black out’ di Malaysia.
Jangan cuba cakap benda rahsia dengan mereka ni. OSA ke, ISA ke, mereka ni tak makan saman! Habis semua rahsia disebarkan.
Ada penghidap sindrom ini yang bukan kaki gosip, tetapi hanya suka cari maklumat untuk tujuan tertentu, Kalau dia nak tahu tentang sesuatu, dia akan pasang spy sana-sini, dan sanggup memperdaya dan menipu sebab nak maklumat terbaru. Haru!
Sindrom Wali Tanda-tanda mereka yang menghidapi sindrom ini: Duduk di masjid sepanjang bulan puasa tiap tahun walhalnya pejabat tunggang-langgang atau keluarga porak-peranda di rumah; wirid berjam-jam walaupun memakan waktu kerja; sanggup bercuti panjang-panjang untuk ikuti aktiviti keagamaan / ceramah yang dia sebenarnya dah pernah ikuti berkali-kali.
Penerangan: Kalau iya pun nak beribadat, pastikanlah ada ‘balance’. Orang yang menghidap sindrom ini sebenarnya tak faham dan tak menghayati sepotong hadis, “Mencari rezeki yang halal itu wajib sesudah menunaikan yang fardhu (seperti solat, puasa dan sebagainya)" - diriwayatkan oleh At-Thabrani dan Al-Baihaqi. Saidina Umar Al-Khattab pernah menghalau orang yang berada di masjid keluar untuk mencari nafkah, sebab dia tak suka tengok orang yang asyik duduk di masjid pada siang hari, sementara sang mentari sudah terpancar bersinar. Ada sepotong hadis lagi yang menyebut, memberi makan kepada seorang Hamba Allah yang sentiasa beribadat di masjid adalah lebih banyak pahalanya daripada ibadat Hamba Allah itu sendiri - sebabnya kalau nak beri makan tu pastinya ada usaha yang dibuat di luar masjid!
Jadi, kalau nak masuk syurga, kita perlu juga berjaya menempuhi hidup di dunia, bukannya ’by-pass’ terus! Dan apa salahnya buat kebajikan atau kumpul pahala cara lain? Cuba hadiahkan wang yang digunakan untuk menghadiri aktiviti keagamaan kepada kalangan keluarga kita sendiri atau orang lain yang kemungkinan besar lebih memerlukan. Tengoklah apa yang wajib dan apa yang sunat. Kalau perkara yang wajib dah buat, baguslah. Tapi kalau nak sambung buat yang sunat, kena tengok dulu - jangan sampai kewajipan kita yang lain terabai.
Penderita-penderita sindrom-sindrom di atas kalau nak kembali sembuh perlulah dengan rela hati makan nasihat beberapa kali satu hari dan telan kritikan walau macam mana pahit sekali pun. Sebelum tidur, dos muhasabah yang secukupnya perlu diambil. Bila bangun pagi, ambillah azam untuk berubah. Jika anda perlukan bantuan, cari mentor atau rakan terdekat dan minta bantuan. Kalau mentor atau rakan terdekat pun menghidapi sindrom yang sama, ambillah peluang untuk berubat bersama-sama! Cuba jangan jangkitkan sindrom tersebut pada orang lain. |