Friday, March 05, 2010

Tazkirah: Ku Bimbang Tiada Lagi

Assalamualaikum,

Dikesempatan ini, nak di kongsikan satu cerita yang sudah hampir tiga kali diceritakan oleh Sheikh Omer El-Hamdoon yakni kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab.

Pada suatu hari, datang dua orang remaja membawa seorang lelaki untuk dihadapkan kepada Saidina Umar. Dua remaja itu memberitahu Saidina Umar bahawa lelaki yang mereka bawa itu adalah pembunuh ayah mereka. Kemudian Saidina Umar bertanya kepada lelaki tentang kebenaran cerita tersebut. Lelaki mengaku membunuh ayah kedua remaja itu. Insiden yang berlaku ialah lelaki itu menegah ayah remaja itu daripada masuk ke dalam kebunnya. Oleh kerana ayah remaja itu berdegil, lelaki marah dan melemparkan batu lantas terkena kepala ayah remaja itu dan mati.

Oleh kerana telah sahih tuduhan itu, maka hukuman terhadap lelaki itu akan dijatuhkan iaitu qisas, bunuh di balas bunuh. Tetapi lelaki itu telah meminta hukuman ditangguhkan setahun lagi kerana dia masih ada anak dan isteri yang perlu disara. Jadi tempoh setahun diminta supaya dia dapat melunasi masalah-masalah keluarganya dan berjanji akan datang semula tahun hadapan untuk dijatuhkan hukuman.

Lalu Saidina Umar meminta jaminan daripada lelaki itu kerana mungkin dalam tempoh setahun itu, dia akan melarikan diri dari hukuman itu. Oleh kerana pengadilan ini dilakukan didepan orang ramai, lelaki itu memerhatikan orang ramai buat seketika seperti mencari seseorang. Kemudian lelaki itu menunding ke arah Abu Zar dan berkata “dia yang akan menjadi penjamin ku”. Kemudian Abu Zar sedikit terkejut dan Abu zar menerima untuk menjadi penjamin kepada lelaki itu. Kemudian tempoh penangguhan diberikan kepada lelaki itu.

Setahun selepas kejadian itu, tibalah masa untuk hukuman dijatuhkan. Apabila semua telah berkumpul, lelaki yang perlu menerima hukuman tidak muncul-muncul. Kemudian Saidina Umar berkata kepada Abu Zar jika lelaki itu tidak datang sebelum senja, Abu Zar lah yang akan dihukum kerana dia adalah penjamin lelaki itu. Kemudian Abu Zar membalas “jika begitu kita tunggulah sehingga senja”.

Namun setelah begitu lama menunggu, lelaki tersebut masih belum datang. Hampir-hampir tiba masa untuk Abu Zar menerima hukuman, tiba-tiba lelaki itu datang juga untuk menerima hukuman.

Kemudian Saidiana Umar bertanya lelaki itu, “kenapa kau datang juga sedangkan kau punya peluang untuk melarikan diri daripada hukuman ini?”

Lelaki itu menjawab “Aku bimbang jika aku mungkir apa yang telah aku janjikan, orang akan menganggap tiada lagi orang yang berpegang pada janjinya dalam masyarakat”.

Kemudian Saidina Umar bertanya pula kepada Abu Zar mengapa dia sanggup menjadi penjamin bagi lelaki ini. Kerana mungkin lelaki ini akan melarikan diri dan dia pula yang akan menerima hukuman itu?

Abu Zar menjawab “Aku bimbang jika aku tidak menerima untuk menjadi penjamin, orang akan menganggap rasa saling mempercayai tidak wujud lagi dalam masyarakat”.

Selepas mendengar kedua-dua penjelasan itu, dua remaja memaafkan lelaki itu dan hukuman tidak jadi dilaksanakan. Kemudian Saidina Umar bertanya mengapa mereka memaafkan lelaki itu?

Remaja itu menjawab “Aku bimbang andainya kami tak maafkan lelaki ini, orang akan menganggap kemaafan tidak wujud lagi dalam masyarakat”.

Akhirnya tiada hukuman yang dijalankan. Kerana akhlak, keharmonian masyarakat dapat dikecapi.

Subhanallah.. Begitulah akhlak sahabat, nilai-nilai kemanusiaan diutamakan dalam kehidupan. Berlandaskan syariat Islam yang syumul, keharmonian dalam masyarakat dapat dikecapi.

Namun hari ini, manusia rosak kerana ketandusan nilai-nilai kemanusiaan dan akhlak, yang akhirnya manusia menjadi makhluk perosak yang sangat merbahaya. Akhlak yang rosak menjadikan manusia hilang rasa kepercayaan, sukar untuk memaafkan dan takut untuk berjanji. Dimana hilangnya nilai-nilai ini?

Tiadalah ubat yang lebih mujarab melainkan kembali kepada cara hidup Islam yang syumul. Kembalilah kepada fitrah insani yang sebenar-benarnya yakni Islam.

Semoga Allah berikan Hidayah-Nya kepada kita semua. Fii amaanillah.

Sekian.


Credit tol: Edan @ Tukang anto tazkirah kat opis pepagi jumaat

2 comments:

edan rashid said...

letih aku mengarang... siot je... ko main cut and paste ek... hehehe...

Ajonz said...

aku kasi credit apa hahaha

Check This out..